Profesor Madya Dr. Mohd Rosli Saludin
Profesor Madya Dr. Mohd Rosli Saludin, seorang tokoh adat yang dihormati dari Malaysia, telah meninggalkan warisan yang kaya dalam bidang Adat Perpatih di Negeri Sembilan. Kehilangan beliau pada 4 April 2024, dan meninggalkan kekosongan yang mendalam dalam dunia budaya dan akademik Malaysia. Mohd Rosli Saludin dilahirkan pada 25 September 1962 di Kampung Dioh Kecil, Kuala Pilah, Negeri Sembilan, Mohd Rosli yang menjadi keturunan perantau Minangkabau dari Nagari Simalanggang, Lima Puluh Kota. Pendidikan awalnya di Sekolah Kebangsaan Kuala Pilah dan Sekolah Menengah Zaaba, Kuala Pilah, menjadi asas kukuh bagi perjalanan intelektualnya. Beliau kemudiannya melanjutkan pendidikan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sastera Kepujian, Diploma Pendidikan, dan Diploma Psikologi Kaunseling.
Sepanjang kerjayanya, Mohd Rosli memegang pelbagai jawatan penting, termasuk Ketua Jabatan Bahasa dan Timbalan Dekan Penyelidikan di Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Pengarah Institut Peradaban Melayu, dan Pensyarah Kanan Fakulti Bahasa dan Komunikasi di UPSI. Beliau juga berkhidmat sebagai Felo Penyelidik Kanan di Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), UKM. Bidang kepakaran Mohd Rosli merangkumi Sastera Tradisional, Kesenian, Kebudayaan, Adat Melayu, Puisi Moden, Drama, dan Teater Melayu. Beliau sering diundang untuk berbagi pengetahuannya dalam Adat Perpatih di TV1 dan 3, serta aktif dalam deklamasi sajak dan Puisi Melayu Tradisional, terutamanya teromba. Mohd Rosli juga seorang penulis prolifik, menghasilkan banyak buku berkaitan pendidikan, drama dan teater, teromba, cerita lisan, dan ungkapan Melayu. Antara karya beliau yang terkenal termasuk "Anjung Teromba," "Naning Luak Terbilang," "Puisi Melayu Tradisional," "Sejarah Kuala Pilah," dan "Ibu Soko." Beliau juga sering membentangkan kertas kerja di berbagai universiti dan institusi di Malaysia.
Pada tahun 2018, Mohd Rosli dinobatkan sebagai Tokoh Warisan Kebangsaan bagi kategori Orang Hidup Teromba Penglipurlara oleh Jabatan Warisan Negara Malaysia. Beliau juga merupakan penasihat bagi Persatuan Sejarah Jempol dan Pengerusi Telapak Warisan Ulu Gachong Negeri Sembilan. Kehilangan Mohd Rosli merupakan kehilangan besar bagi dunia budaya dan akademik Malaysia. Sumbangan beliau dalam memelihara dan mempromosikan Adat Perpatih dan warisan budaya Melayu akan sentiasa dikenang.
Feni Efendi, seorang penulis, peneliti, dan pengamat literasi yang berasal dari Payakumbuh